Jumaat, 15 April 2016

Orang Malaya Di Sabah #4: 'Orang Kita', 'Bahasa Kita'

Rancangan Rumpun Melayu Global yang ditayangkan di TV1 menggambarkan orang Melayu nusantara yang merantau di negara orang hidup bersatu. Bagi rakyat Malaysia, rakan taulan khususnya dari Malaysia dianggap seperti adik-beradik sendiri.

Situasi yang sama jika dilihat dalam kalangan Orang Malaya yang merantau di Sabah khususnya yang mendiami di daerah atau bandar yang  sama. Hal ini berdasarkan pemerhatian aku sebelum era maklumat di hujung jari. Orang Malaya di Sabah yang merantau khususnya disebabkan oleh tuntutan bekerja sebagai pegawai Kerajaan Persekutuan,  berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Sabah atau yang diterima sebagai peneroka tanah-tanah rancangan FELDA di Sabah dalam awal 1970-an (datang ke negeri Sabah belayar menggunakan kapal laut) boleh dikatakan saling mengenali di antara satu sama lain. Orang Malaya di Sabah yang berasal dari negeri-negeri yang berbeza di Semenanjung Malaysia diibaratkan seperti keluarga sendiri melangkaui semangat kenegerian.

Contohnya, orang Kelantan apabila merantau di Sabah menganggap Orang Malaya berbangsa Melayu yang berasal dari negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sebagai ‘orang kita’. Hal ini berbeza jika orang Kelantan berada di Semenanjung Malaysia, ‘orang kita’ ditakrifkan terhad kepada orang Kelantan sahaja manakala orang Melayu yang berasal dari negeri-negeri lain ditakrifkan sebagai ‘orang luar’. Begitu juga dengan Orang Malaya di Sabah berbangsa Melayu yang berasal dari negeri-negeri Semenanjung Malaysia yang lain turut merujuk sesama mereka sebagai ‘orang kita’.

Apabila bertemu sesama orang Malaya yang merantau di Sabah, secara spontan mereka bercakap menggunakan ‘bahasa kita’. Menjadi pantang kepada generasi lama Orang Malaya di Sabah apabila generasi muda (anak-anak) Orang Malaya di Sabah bercakap menggunakan loghat Sabah apabila bertemu dengan sesama ‘orang kita’. Aku masih ingat teguran ibu saudara aku yang berasal dari Perak terhadap sepupu aku yang berasal dari Kedah apabila bercakap menggunakan loghat Sabah sebagai medium komunikasi dengan ibu saudara aku:

Kita ni ada ‘bahasa kita’. Bercakaplah guna ‘bahasa kita’.

Dalam konteks orang Malaya di Sabah, ‘bahasa kita’ merujuk kepada dua situasi. Pertama, ‘bahasa kita’ merujuk kepada dialek negeri-negeri masing-masing di Semenanjung. Mereka bercakap menggunakan dialek negeri masing-masing walaupun orang yang dilawan bercakap tidak berasal dari negeri yang sama. Kedua, tidak bercakap dalam dialek negeri-negeri masing-masing sebaliknya bercakap menggunakan loghat orang Kuala Lumpur. Hal ini khususnya apabila bertemu sesama Orang Malaya di Sabah yang tidak berasal dari negeri yang sama sebaliknya boleh bercakap menggunakan loghat orang Kuala Lumpur.

Kini, kebanyakan generasi baru keturunan Orang Malaya di Sabah khususnya dalam kalangan para peneroka FELDA yang dikategorikan sebagai generasi cucu-cicit tidak lagi meneruskan terma ‘bahasa kita’ dan ‘orang kita’ dalam pergaulan seharian memandangkan ada di antara mereka yang telah diserapkan sebagai ‘Orang Sabah’.

P/S: Generasi lama (ibu bapa & anak-anak) Orang Malaya di Sabah tidak suka bercakap menggunakan loghat Sabah apabila bertemu sesama 'orang kita', salah satu faktornya ialah loghat Sabah kedengaran kasar di telinga Orang Malaya di Sabah. Contohnya, menjadi pantang dan disifatkan kurang ajar apabila generasi anak bercakap menggunakan kata nama ganti diri 'aku' dan 'kau' dengan generasi yang lebih tua termasuklah ibu bapa.