Ahad, 31 Disember 2017

Doa: Hadiah Daripada Yang Hidup Kepada Yang Mati

Orang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang sedang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya (rahmat) sesuatu doa dari anaknya, atau saudaranya, atau sahabat handainya. Apabila (rahmat) doa itu sampai kepadanya maka tidak terkira sukacitanya dan dirasainya (rahmat doa itu) lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang mati ialah: ”Doa dan Istighfar”. (Riwayat oleh Ad-Dailami rahimahullah)



Rayuan rohnya dengan suara yang hiba dan menyayukan hati

Di dalam hadith juga diterangkan, maksudnya:

” Bahawa roh orang-orang mati datang beramai-ramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh di antaranya menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya:

” Wahai ahli rumahku! Wahai kaum kerabat dan anak-anakku! Wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi-bahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang berada di alam Barzakh?...kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang salih, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu...”

” Setelah puas menyeru dan merayu, kembalilah kumpulan roh itu ke tempat masing-masing untuk datang lagi pada malam berikutnya.

” Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa.” [Hadith yang menyayukan hati ini disebutkan dalam I’anah at-Talibin (2:144)] 

Kedua dua hadith ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup.




P/S: Aku rasa sebak apabila membaca petikan terjemahan hadis di atas. Sebelum ini, kadang-kadang sahaja aku membaca doa terjemahan Surah al-Hasyr ayat 10 apabila aku teringat. Kini, aku usahakan membacanya setiap hari. Aku yang masih hidup ini faham bagaimana rasanya hampa. Aku tidak mahu setiap malam kau merayu dan akhirnya kau kembali dalam keadaan hiba dan hampa.


"Wahai Tuhan Kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan Kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu." (Surah Al-Hasyr 59 :10)

Ahad, 24 Disember 2017

Sombong: Kunci Segala Kejatuhan

Sewaktu berada di puncak, mereka tidak menjaga ketinggian ego yang bersarang dalam diri. Apabila diberi kekayaan sedikit, mereka mula berubah baik dari segi tutur kata mahupun tingkah laku. Tanpa sedar mereka sudah mula berubah sedikit demi sedikit menjadi sombong. Mereka mula melupakan orang yang membantu ketika naik. Bahkan mula sombong dengan tangan-tangan yang menghulurkan bantuan ketika susah.

Kita perlu menilai kesombongan diri yang wujud dalam diri. Manusia tidak pernah lari dari kesombongan. Tetapi kita punya kemampuan untuk mengekang kesombongan dari terus menjadi pakaian kehidupan. Permulaan sombong itu ada dalam hati dan kemudian diterjemahkan melalui kata-kata kita.

Orang yang sombong tidak pernah mengaku mereka sombong. Pada mereka, apa sahaja yang keluar dari mulut adalah satu kebenaran tanpa menyedari pedihnya kata-kata hinggakan melukakan hati orang yang mendengar. 

Tidak semua orang mampu menahan diri dari menjadi sombong ketika berada dalam fasa kekayaan. Kesombongan ini sangat halus lagi nipis hingga wujudnya tidak kita rasai. Kita perlu sentiasa menjaga hati dan lidah kerana di situlah bermulanya segala kesombongan. Apabila hati mula berasa besar diri maka lidah akan mula menuturkan kesombongan dan akhirnya kesombongan jelas terlihat pada perbuatan.

Kedudukan orang yang sombong tidak akan kekal lama. Ia mungkin boleh berada di atas untuk berpuluh tahun tetapi sampai masanya jatuh, mereka akan jatuh tanpa sempat berpaut. 

Berhentilah daripada menyombong diri biarpun sedikit kerana yang sedikit itu akan menjadi nyalaan api yang besar hingga membuat kepanasan diri hingga akhirnya diri dijauhi dan dibenci. Sombong adalah kunci segala kejatuhan.


Diolah semula dari sumber: Dr. Azhar Sarip. 2017. Sombong Kunci Segala Kejatuhan. Majalah Al-Islam, Disember Bilangan 526 Halaman 40-42. Utusan Karya Sdn. Bhd.


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. ('Ali Imran 3: 185)

Seseorang yang mempunyai sikap yang sombong itu boleh saja dijatuhkan melalui jalan kematian.


P/S: Pedih hatiku mendengar kata-katamu dan melihat perlakuanmu yang sombong. Aku berharap aku mampu melepaskan semuanya dan memaafkan perlakuaanmu dengan sepenuh hati aku. Selebihnya ia adalah urusanmu dengan Allah s.w.t.

Sabtu, 9 Disember 2017

B+ = +ve dalam -ve

Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif.

Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya: 
“Barangsiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan.

Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan.

Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan-Nya untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) berkata tentang hikmah ujian:
“Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya (kelapangan dan kesempitan), supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Sumber: Ustaz Pahrol Juoi